Saturday, November 20, 2010

Thailand temui hampir 1,000 janin

Polis Thailand menemui hampir 1,000 janin yang digugurkan secara haram disembunyikan di sebuah tokong Buddha di ibu negara ini.
Janin tersebut dibalut dalam beg plastik dan ditemui hari ini di satu kawasan rumah mayat yang baru dibuka, hanya beberapa hari selepas pihak berkuasa menemui 348 janin di bilik pertama yang diperiksa.
Dua pengurus mayat di tokong itu mengaku menyembunyikan janin-janin tersebut di dalam tiga ruang simpanan, mendorong pihak berkuasa melakukan pemeriksaan lanjut, kata polis.
“Di sebuah bilik sahaja kami menemui 950 janin dan kami sedang membuka bilik satu lagi,” kata komander kawasan Polis Metropolitan Bangkok, Kolonel Sombat Milintajinda.
Sesetengah janin itu disimpan di sana sejak lebih setahun lalu, katanya.
Penemuan tersebut menggemparkan penduduk Thailand dan menunjukkan betapa meluasnya perbuatan pengguguran haram di negara ini, di mana prosedur itu hanya dibenarkan sekiranya nyawa ibu terancam atau kehamilan adalah disebabkan rogol.
“Ini menunjukkan betapa seriusnya masalah ini,” kata Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva, walaupun beliau menolak gesaan supaya undang-undang pengguguran anak dipinda.
Kementerian Kesihatan Awam mengarahkan operasi di seluruh negara untuk membanteras klinik-klinik pengguguran anak berikutan penemuan tersebut.
Dianggarkan daripada sejuta kehamilan di Thailand setiap tahun, 80,000 kandungan digugurkan secara haram.
Setakat ini seorang wanita berusia 33 tahun ditangkap dan dia mengaku menjalankan pengguguran haram, kata ketua penyiasat di balai polis Phya Krai, Leftenan Kolonel Dilok Ruennet

sumber : Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment